Total Pageviews

Saturday 16 November 2013

Allah-lah yang akan menjadi suara si hamba

Bertubi-tubi dugaan yang diberikan pada si hamba, menandakan betapa dalamnya cinta Yang Esa, agar hambaNya bersih dari segala dosa, menguatkan lagi imaan di dada.

Betapa luasnya hikmah yang terkandung pada setiap yang terjadi, mengajar erti sebenar kesabaran, juga memberi kesedaran bahawasanya kehidupan dunya ini hanyalah pinjaman.

Di saat rebah, akan terserlah juga siapa teman yang sebenar, setia menjadi sahabat di sisi, menemani saat-saat sukar yang diharungi.

Mungkin juga Allah ingin si hamba sedar, hanya pada si Pencipta selayaknya tempat bergantung harapan, kerana hubungan dengannya tidak akan pernah menyakiti apatah lagi melukakan, kerana kesempurnaan hanya milikNya, Tuhan sekalian alam.

Mungkin sebab itu juga, Rasulullah SAW berpesan, 'berkata baiklah kamu atau diam', kerana setiap jiwa mempunyai kisah tersendiri, jalan cerita kehidupan yang penuh cabaran. Perbezaannya sangat ketara, namun destinasi tetap sama, menuju keredhaanNya.

Maka, benda yang remeh di mata kita, mungkin tidak remeh pada jiwa yang merasa. Maka berkata baiklah ataupun diam, berlaku baiklah pada setiap insan, kerana senyuman dan kegembiraan yang terserlah pada wajah si teman, mentafsirkan jiwanya yang sedang berjuang dalam diam, cuba untuk meraih kembali kekuatan yang dirasakan hilang.

Ingatlah, wahai setiap jiwa yang mempunyai akal dan hati, janganlah pernah menyakiti dengan lidah yang penuh berduri. Diamnya jiwa yang merasa, jangan disalahertikan sebagai kekalahan atau kelemahan.

Kerana diamnya jiwa yang merasa, Allah-lah yang akan menjadi suara si hamba.

Allah, Tuhan yang menggenggam masa depan kita, di sini dan di akhirat sana.

No comments:

Post a Comment